Monday, April 5, 2010

MAAF TERPAKSA BEREHAT PANJANG...KINI KEMBALI

Terkadang ada waktu permasalahan hidup tidak boleh dilangkah sebgitu sahaja. Ada waktu kita perlu mencari ketenangan jiwa. Inilah waktu untuk menguji tahap kesabaran dan kematangan hidup kita dari pengisian ilmu yang tersangkar di qalbu, biarpun ia sekadar sehuma cuma.

Dalam tenang tidak semesti olah ribut tidak mungkin mengganggu sebuah kedamaian. Terkadang ketinggian ilmu dan amal tidak mampu menahan taufan kerana ia lebih bersifat ujian Allah s.w.t.

Lantaran kekalutan hidup yang datang bagai badai tsunami, bukit pun bisa roboh kerana setiap insan yang dicipta Allah s.w.t tidak sama olah pemikiran dan nafsu kehidupan mereka.

Seaman dan indah lingkungan istana, pergolakan tetap jua akan berlaku. Setinggi taraf Rasul..isteri bukan semua boleh mengikut. Kecemburuan buta tidak boleh terhakis biarpun sehebat mana hafiznya Al-Quran atau segudang ilmu ketaraf PhD.

Dalam ruang waktu untuk bertafakur mencari 'ketenangan' diri, terasa sudah begitu tertinggal untuk menguki bait-bait wadah dalam blog ini. Apapun blong ini tidak akan mati dan kini bakal kembali untuk terus melontar seribu makna untuk dikongsi bersama.

Terlalu banyak yang tertinggal ketika isu panas melanda negara. Namun, melarikan diri dari kesesakan nafas gundah di Pulau terindah 'Perhentian' cukup mengasyikkan dalam sendu mencari kekuatan diri.

Namun, dari gejolak isu panas yang melanda politik negara hasil pendedahan 'luar biasa' bekas-bekas pemimpin PKR, sayang saya tidak ada waktu untuk merangkai analisis yang lebih tepat ketika itu.

Begitupun, jika sesiapa mengikut unjuran tulisan saya di sini sebelumnya, - ramalan saya cukup tepat dan mendahuli segalanya, termasuk kemelut dalam istana Kelantan.

Dalam 'rehat' dari 1001 permasalah, saya mencari jalan malam yang gelap dan sunyi bagi memandang waktu siang. Tabir itu hanya Allah s.w.t yang boleh membuka kepada mereka yang diredaiNya sahaja. Sebagai insan ...kita hanya berusaha dan 'ikhlas' dalam mencari sesuatu di sebalik tabir pengelihatan umum.

Semakin di kejar, terasa semakin jauh dan perjalanannya penuh liku dan ujian yang berselerak. Namun, yang pasti ditemui setitis suar manisnya, biarpun tidak terlalu semanisnya gula.

Apapun, saya akan kembali untuk terus berkongsi - meletakkan kebenaran di depan dan menyatakan benar sekali pun pahit.

Cuma ada sesuatu yang kadang tercengkam..bolehkan firasat ini terus terungkai ketika kerinduan kepada anak-anak begitu mencengkam bila hidup sudah ditakdirkan dipisahkan. Kenapa anak-anak harus dijadikan senjata ketika kita mahu melepaskan kemarahan.

Yang hidup pasti mati dan yang bernikah - penceraiannya tetap ada di depan mata. Yang indah akan tetap jadi kenangan, yang buruk itu adalah sempadan untuk kita bermuhasabah diri merubah kehidupan menjadi lebih baik.

Jika kita mencari jalan mengenal diri - meletak yang buruk dihadapan itu adalah lebih afdal kerana itu adalah airmata penyesalan terbaik mencari abadi dari segala kemurahan hidup yang Allah s.w.t berikan tanpa sebarang harga yang perlu kita bayar.

Ada waktu kita boleh bersimpuh dengan sabar untuk mendengar segala maki hamun, sumpah seranah dan pelbagai gelagat yang mehyakitkan kerana ketika itu zikir kesabaran tidak terputus dengan Maha Pencipta.

Namun, ada waktu kesabaran itu tercarik biarpun setebal belulang yang baru dilapah kerana saat itu Iblis terlalu pantas mencari ruang untuk membinasakan keindahan sabarnya manusia.

Bukankah itu sumpah iblis untuk menghancurkan hubungan berkasih sayang manusia, berpecah, huru hara dan berbunuh-bunuhan. Apa pun, hari-hari berlalu membuat qalbu makin gagah dan berada dijalan yang benar.

No comments:

Post a Comment

Jangan Pandang Sebelah Mata