Monday, July 12, 2010

ILHAM MELAYU KICKDEFELLA: MELAYU KENA FIKIR

'Menang Sorak, Perak Sudah Pernah Kita Gadai'

(Sila rujuk tulisan sahabat saya di blog Muqabalah bertajuk Kenapa Sampai Ke Situ, ianya amat menarik sekali)

Saya berada bersama YB Dato’ Husam Musa di dalam rangka lawatan rasmi ke Beijing pada awal Februari 2009. Sewaktu wakil dari Beijing Enterprise Development Corporation sedang memberi taklimat di hari terakhir lawatan sebelum kami menandatangani perjanjian sefahaman, talian handphone YB Husam tidak berhenti berdering. Tamat taklimat oleh orang besar BEDC, YB Husam memohon maaf di atas kebisingan telefon bimbitnya.

“I have to answered those calls….” lebih kurang begitu penjelasannya.

Perak sudah kembali kepada Barisan Nasional. Suasana dingin minus 6 dibawah paras beku di Kota Beijing tidak dapat menyamankan kami.

“Kita sembahyang hajat sampai ke Yemen…” Kata Husam kemudian, menjelaskan betapa sukarnya usaha untuk mendapat perkenan supaya YB Nizar Jamaluddin diangkat sebagai Menteri Besar Perak selepas PRU 12.

Ketika itu Husam adalah Naib Presiden PAS dan beliau ditugaskan menyelesaikan urusan penubuhan Kerajaan Campuran PAS, DAP dan PKR di Perak.

Setahun sebelum itu, jam 8.00 pagi, 9 March 2008, Husam membuat panggilan telefon kepada saya dan mengarahkan saya datang segera ke rumahnya. Lebih kurang jam sebelas pagi, Saifuddin Nasution Ismail tiba. Perbincangan berkisar kepada bagaimana menubuhkan sebuah kerajaan di Perak. Saifuddin dengan jelas di dalam pertemuan itu menyebut PKR tiada calon yang layak untuk dicadangkan sebagai Menteri Besar.

Bagaimanapun, Saifuddin mencadangkan nama Dr. Zambry, YB BN yang menang di Pangkor. Saifuddin nampak yakin bahawa YB Dr. Zambry Abdul Kadir akan sertai PKR untuk menjadi Menteri Besar Kerajaan Campuran di Perak.

Di dalam mesyuarat yang sama, saya menerima SMS dari seorang tokoh perniagaan yang juga sahabat Husam. SMS itu di antara lain menyebut bahawa ‘Wang sudah ada untuk pembelian wakil-wakil rakyat BN’.

Saya tidak pasti sama ada wakil-wakil rakyat itu adalah termasuk Dr. Zambry tetapi daripada konteks mesyuarat hari itu, sefaham saya ialah wang tersebut untuk membeli Ahli-Ahli Parlimen dari Sabah dan menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional secepat mungkin.

Sehingga hari ini saya tidak pasti mengapa sms itu dihantar kepada saya. Atau sms itu dihantar kepada orang lain dan di salin kepada saya.

Sepekara lagi yang dibincangkan pada hari itu ialah kedudukan Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Saifuddin menimbulkan persoalan sama ada jika Anwar diangkat sebagai Senator, apakah dia boleh dipilih sebagai Perdana Menteri.

Walaubagaimanapun, segala pokok perbincangan hari itu tidak kemana kerana Saifuddin asyik mahu merujuk kepada Dato’ Seri Anwar di dalam segala hal.

Akhirnya, Husam bangkit membentang sejadah di ruang tamu rumah itu dan menunaikan sholat sunat tanpa berkata apa-apa lagi pada kami.

Hasil dari pembuangan undi pada 8 Mac 2008 untuk 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Perak, keputusannya ialah BN UMNO dapat 27 kerusi DUN, BN MCA dapat 1 kerusi.

BN UMNO tewas 5 kerusi dan BN MIC tewas 1 kerusi kepada PAS menjadikan jumlah ADUN PAS ialah 6.

BN MCA tewas 14 kerusi, BN GERAKAN tewas 3 kerusi dan BN MIC tewas 1 kerusi kepada DAP menjadikan jumlah ADUN DAP ialah 18 semuanya.

BN UMNO tewas 2 kerusi, BN GERAKAN tewas 1 kerusi, BN MCA tewas 2 dan BN MIC tewas 2 kerusi kepada PKR. Ini menjadikan jumlah ADUN PKR ialah 7 semuanya.

Keputusannya, BN 28 kerusi, DAP 18 kerusi, PKR 7 kerusi dan PAS 6 kerusi. BN boleh menubuhkan kerajaan minoriti kerana pada ketika itu tiada platform yang mengikat ketika-tika parti pembangkang, tetapi memilih untuk menjemput PAS menyertai Kerajaan yang bakal ditubuhkan.

Secara rasminya, PAS menolak cadangan Kerajaan Campuran dengan BN, sebuah keputusan yang saya amat hargai pada waktu itu. Jika PAS menubuhkan Kerajaan bersama BN pada ketika itu, ia hanya akan menyukarkan semula usaha untuk menyingkirkan Abdullah Ahmad Badawi dari tampuk pemerintahan negara. Abdullah adalah masalah besar kepada Malaysia.

Abdullah sudah membawa petaka itu kepada rakyat Malaysia. Usaha yang boleh membantu menyelamatkan Abdullah adalah usaha yang belot terhadap keputusan pengundi pada 8 Mac 2008 itu. Pendirian Husam amat jelas dalam soal ini, dan saya bangga sekali.

Tetapi menyertai Kerajaan Campuran bersama DAP adalah satu matlamat singkat dan merbahaya kepada bukan sahaja PAS, tetapi kepada umat Islam dan orang-orang Melayu di Malaysia. Tersingkirnya Abdullah Ahmad Badawi sepatuntya membuka ruang penyatuan semula bagi orang-orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Negeri Perak Darul Ridzuan mempunyai 59 buah kerusi Dewan Undangan Negeri. 38 kerusi DUN adalah kawasan di mana lebih 50% pemilihnya terdiri daripada orang-orang Melayu. Manakala 21 kerusi DUN nya mempunyai komposisi pemilih Melayu kurang daripada 50%.

Daripada 21 kerusi yang mana pemilih Melayu kurang daripada 50%, 19 daripadanya menunjukkan penguasaan pemilih Cina lebih daripada 50% dan kerusi-kerusi itu dimenangi secara total oleh Pembangkang.

Kawasan-kawasan tersebut ialah,

1.Pokok Asam dengan 75% pemilih Cina. DAP tewaskan MCA di sini. Majoriti 865 atau 6.04%.
2.Aulong dengan 58% pemilih Cina. DAP tewaskan GERAKAN. Majoriti 2,808 atau 17.51%.
3.Jalong dengan pemilih Cina seramai lebih 56.8%. DAP tewaskan GERAKAN. Majoriti 5,495% atau 31,18%.
4.Canning dengan pemilih Cina lebih 78%. DAP tewaskan GERAKAN. Majoriti 5,666 atau 25.13%.
5.Tebing Tinggi dengan pemilih Cina lebih 76.9%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 2,515 atau 21.07%.
6.Pasir Pinji dengan pemilih Cina lebih 88.9%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,339 atau 33.72%.
7.Bercham dengan pemilih Cina seramai 79.8%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,010 atau 30.48%.
8.Kepayang dengan pemilih Cina seramai 63.6%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 490 atau 3.32%.
9.Jelapang dengan pemilih Cina lebih 73.6%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,707 atau 35.29%.
10. Menglembu dengan pemilih Cina lebih 92.5%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 6,523 atau 32.47%.

11. Tronoh dengan pemilih Cina lebih 67%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 2,571 atau 15.96%.

12. Pantai Remis dengan pemilih Cina lebih 71.2. DAP tewaskan MCA. Majoriti 5,076 atau 26.22%.

13. Malim Nawar dengan pemilih Cina lebih 72.95. DAP tewaskan MCA. Majoriti 1,362 atau 9.54%.

14. Keranji dengan pemilih Cina lebih 79.2%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 4,435 atau 35.41%.

15. Sitiawan dengan pemilih Cina lebih 80.5%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 8,529 atau 52.38%.

16. Pasir Bedamar dengan pemilih Cina lebih 70.4%. DAP tewaskan MCA. Majoriti 7,914 atau 40.71%.

17. Sungkai dengan pemilih Cina lebih 56.5%. DAP tewaskan MIC majoriti 1,454 atau 12.94%.

18. Simpang Pulai dengan pemilih Cina lebih 64%. PKR tewaskan MCA. Majoriti 3,386 atau 18.21%

19. Teja dengan pemilih Cina melebihi 75.72%. PKR tewaskan MCA. Majoriti 175 atau 1.36%.

Bagi kerusi-kerusi yang pemilih Melayu kurang daripada 50% juga terdapat 2 kerusi campuran iaitu kerusi yang pemilih Cina dan pemilih India di gabungkan melebihi 50% komposisi pemilih di konstituensi tersebut.

1.Chenderiang dengan komposisi pemilih Cina 36.2% dan India 12.9% berbanding pemilih Melayu berjumlah 37.6%. MCA memenangi kerusi ini menewaskan PKR dengan majoriti 3,392 atau 29.47%.
2.Buntong dengan komposisi pemilih Cina 47% dan India 46.2% berbanding pengundi Melayu sebanyak hanya 6.1%. DAP memenangi kerusi ini menewaskan MCA dengan majoriti 5,315 atau 34.72%.
Negeri Perak adalah satu kes klasik untuk melihat bagaimana sebuah negeri yang pembahagian politiknya menunjukkan kukuhnya kedudukan Melayu, tetapi runtuhnya penguasaan Melayu kerana perpecahan sesama Melayu.

64% konstituensi-konstituensi di DUN Perak di kuasai oleh Melayu. Jumlah ini bersamaan dengan 38 kerusi Dewan Undangan Negeri. Ini membuktikan secara politik, kedudukan Melayu di Perak adalah amat-amat stabil, sehinggalah PAS memilih untuk memberi kuasa pemerintahan Negeri Perak kepada DAP.

PAS meletakkan 21 orang calon DUN di dalam PRU 12 yang lalu. dari jumlah itu, 20 calon PAS berhadapan dengan calon BN UMNO dan 1 berdepan dengan BN MIC. 15 daripada calon PAS tewas.

PKR meletakan 14 orang calon di dalam pilihanraya yang sama untuk menentang BN UMNO. PKR berjaya menumpaskan calon Melayu BN di 2 konstituensi. PKR bagaimanapun berjaya merampas kerusi majoriti Melayu yang BN serahkan kepada MIC bila calonnya Jamaluddin Mohd Radzi menang di Behrang. Ini membawa jumlah ADUN Melayu PKR kepada 3.

Ini bererti gabungan PAS dan PKR memiliki sejumlah 9 orang ADUN Melayu selepas PRU ke 12. Maka 9 orang ADUN Melayu ini telah dipajakkan untuk menubuhkan kerajaan dengan 22 ADUN bukan Melayu dari DAP dan PKR.

Ini bermakna, Dewan Undangan Negeri Perak yang mengandungi seramai 36 orang ADUN Melayu, telah terpaksa tunduk kepada 22 ADUN Bukan Melayu yang 18 daripadanya dari DAP hanya kerana 9 orang ADUN Melayu.

Dayus mungkin tidak sesuai digunakan bagi menghuraikan kemelut waktu itu. Tetapi dalam suasana harian, tindakan itu adalah amat dayus.

Senario yang sama tidak mustahil akan kita lihat di dalam PRU ke 13 akan datang. Calon Melayu Islam, sudah tentu akan mengekalkan lebih kurang 130 konstituensi Parlimen yang di wakili oleh Melayu Islam sekarang. Tetapi kemungkinan kita akan melihat insiden yang sama berlaku seperti di Perak bila 130 orang Ahli Dewan Rakyat Melayu akan di kuasai oleh lebih 90 orang YB Bukan Melayu Bukan Islam. Ia tidak mustahil jika PAS berjaya merampas beberapa buah kerusi Melayu dari UMNO menerusi perang saudara antara sesama Melayu sesama Islam. Dan kerusi itu akan PAS berikan untuk menubuhkan kerajaan bersama DAP.

Perak pernah mendahului Negeri-Negeri Melayu lain di dalam menerima Residen Inggeris. Hanya Melayu yang dapat menjamin sejarah tidak berulang lagi. Jika Melayu mahu belajar dari Sejarah.

Dan di dalam kes Perak, saya sudah mendengar kegusaran dari dari segelintir pimpinan PAS kerana DAP sudah pasti akan meletak calon Melayu untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Perak dalam PRU akan datang. Pada waktu yang sama DAP sedang memindahkan pemilih-pemilih Cina di kawasan yang mereka fikir selesa ke konstituensi lain bagi memberi ruang untuk penguasaan lebih besar oleh mereka.

Ini bererti, jika Pakatan Rakyat berjaya menguasai Perak semula maka kita bakal berdepan dengan calon Menteri Besar DAP dari keturunan Melayu. Tidak juga mustahil, DAP akan meletakkan calon-calon Parlimen dari keturunan Melayu. Apakah kita juga akan mempunyai Perdana Menteri Melayu dari Parti DAP? Bukankah DAP adalah parti yang terbesar penguasaannya di dalam Pakatan Rakyat?

Saya merasakan masanya sudah tiba untuk UMNO dan PAS menghadapi Pilihanraya Umum ke 13 di atas platform yang sama. Beberapa bulan atau mungkin tahun yang ada untuk menghadapi PRU itu boleh digunakan bagi merundingkan bentuk Kerajaan yang akan dibentuk."

No comments:

Post a Comment

Jangan Pandang Sebelah Mata